DI ANTARA DUA ANTARA – Muhasabah Ramadhan & Aidul Fitri

29 09 2008

Ramadhan, akan pergi meninggalkan kita… pergi membawa bersamanya rahmat, barakah dan limpah kurnia dari Allah. Tidak ada jaminan yang kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan 1430 H nanti. Boleh jadi Ramadhan 1429 H adalah Ramadhan terakhir…

Manalah tahu ajal tiba… kita pun pulang tanpa dapat bertemu lagi dengan Ramadhan di dunia yang fana ini. Kita akan hijrah ke satu daerah yang disifatkan oleh Sayidina Ali krmh… “tempat menuai ganjaran tanpa peluang beramal.”

Di antara kesedihan meninggalkan Ramadhan dan kemeriahan persiapan menyambut Syawal, kita terperangkap antara dua rasa – gembira atau sedih? Sedih kerana pamitan Ramadhan yang akan pergi. Gembira dengan Syawal yang mula bertandang. Diantara dua antara ini, kita hanya punya satu hati. Bagaimanakah?

Kita perlu membuat pertimbangan. Justeru, rasa itulah yang akan membuahkan tindakan. Acapakali kita diperingatkan, manusia bertindak bukan atas justifikasi fikiran tetapi perasaan… Jika tepat apa yang kita rasa, tepat jualah tindakan kita. Tetapi jika salah rasa, salah pula tindakan. Benarlah, hati itu raja, fikiran itu bendehara… Dan di hati itulah ‘rasa’ kita bertakhta!

Sedihkah kita atas pemergian Ramadhan? Jika ya, mengapa? Kerana tertutupnya peluang membuat kebaikan yang berganda ganjarannya? Kerna sirnanya sinar Lailatul Qadar? Atau sekadar imbauan nostalgia yang sudah sebati dengan jiwa kita sejak dulu?

Ramai yang sedih mengenangkan keakraban hubungan keluarga ketika sama-sama bersahur, berbuka dan bertarawih. Terkenang wajah ibu, bapa, adik beradik atau kawan-kawan seperantauan bila menyambut puasa…

Jika hanya sedemikian, kesedihan itu tidak mempunyai makna yang hakiki. Itu adalah fitrah yang ada pada setiap insani. Kita makhluk yang dicipta secara ‘co-existence’ – wujud bersama ini, pasti merasakan begitu. Tetapi apa yang penting ialah kesedihan meninggalkan Ramadhan kerana hilangnya peluang untuk lebih akrab dengan Allah.

Walaupun pada bulan-bulan yang lain, rahmat Allah tidak pernah terputus… tetapi pada Ramadhan hubungan itu lebih intim, istimewa dan khusus. Kesedihan kita kerana Allah, bukan kerana manusia.

Hilanglah peluang berterawih, bertadarus dan berpuasa kerana-Nya. Mungkin kita masih boleh berpuasa, tetapi apakah sama dengan puasa Ramadhan? Ya, saat dan detik paling mustajab, paling akrab, paling indah bersama Ramadhan 1429 H akan terus hilang dan tidak akan datang-datang lagi. Jika kita berpeluang menemui Ramadhan lagi, itu Ramadhan 1430 H. Benarlah kata Imam Ghazali, “perkara yang paling jauh dengan manusia, bukan bintang, purnama atau mentari… tetapi masa lalu!

Saat-saat akrab dengan Allah di bulan Ramadhan itulah yang ditangisi pemergiannya oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Mereka adakah pemburu kebaikan yang senentiasa peka, tega dan rela dengan kehendak Allah. Kesedihan mereka, bukan imbauan nostalgia tahap rendah. Tetapi penyesalan hati tahap tinggi. Penyesalan yang menjadi ‘modal’ taubat.

Lalu kita bertanya di mana letaknya kesedihan kita meninggalkan Ramadhan? Jika kita tidak meletakkan sedih di tempatnya, marilah kita mula bersedih… Sedih kerana tidak sedih, seperti rintihan Rabiahtul Adawiyah:
“Istighfar kita sesungguhnya menuntut satu istighfar lagi…”

Layakkah kita gembira menyambut kedatangan Syawal? Takbir bergema di senja 1 Syawal di mana-mana. Takbir itu mengingatkan kita kepada kebesaran Allah. Dia Yang Maha Besar. Takbir itu petanda kemenangan. Kemenangan kembali kepada fitrah hasil mujahadah sepanjang Ramadhan yang diumpamakan sebuah sekolah (madrasah).

Pada 1 Syawal kita umpama ‘graduan taqwa’ yang mendapat syahadah dan ijazah. Kita berjaya. Lalu kita gembira mendapat tiga yang dijanjikan – rahmat, pengampunan dan bebas dari neraka. Namun benarkah? Benarkah kita ‘modal insan’ yang dikehendaki oleh Allah menerusi firman-Nya: “Wahai orang beriman, diwajibkan kepadamu berpuasa, seperti mana orang yang terdahulu daripada kamu agar kamu bertaqwa.”

Benarkah kita telah membesarkan Allah atau masih ‘membesarkan’ baju, kueh-mueh, langsir, rumah, kereta dan pelbagai ‘aksesori luaran’ sempena Hari Raya? Sudahkah kita memiliki ‘jiwa hamba’ walaupun diri bersalut dengan pelbagai kesenangan dan kemewahan? Terasakah kita masih seorang hamba yang hina, kotor, miskin, jahil, lemah dan berdosa di tengah kemeriahan Syawal? Atau kita mereka mulia, suci, kaya, ego dan takbur dengan segala ‘nikmat pinjaman’ daripada-Nya?

Takbir raya mengigatkan kita kepada kebesaran Allah, bukan kebesaran manusia. Lalu kita tetapi hamba di Hari Raya – mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan-Nya. Gema takbir itu hakikatnya adalah satu tazkirah berterusan agar kita menjadikan Allah sebagai illah dan rabb, bukan pada nafsu dan syaitan. Kita teringat syariat-Nya. Kita terkenang pengampunan-Nya. Kita terkesima dengan kasih sayang, kelembutan dan pemaaf-Nya.

Takbir… bukan pengusik rasa yang mengingatkan kita pada sidia dengan melupakan SIDIA. Bukan juga pengimbau kampung halaman di dunia yang fana hingga terlupa syurga yang baqa – kampung asal – nenda kita Nabi Adam dan Siti Hawa. Takbir bukan detik mula ‘bebas’nya nafsu berganding semula dengan ‘banduan Ramadhan’ – syaitan untuk kreatif, inovatif dan produktif mencipta dosa.

Sebaiknya, kita akan terus ‘menahan’ (bukan puasa ertinya menahan?) diri dan musuh-musuh Allah ini berpaut kepada kebesaran takbir kemenangan di hari Raya. Allah Hu Akbar.

Di antara dua antara… kita akan terus nestapa. Kita hakikatnya hanya menumpang gembira di pinggiran majlis konvokesyen ‘Graduan Taqwa’ di Syawal yang indah. Kita merenung mereka dari kejauhan ketika kaki dan tangan terus dipasung oleh dosa-dosa. Dan kita menjadi pelajar yang gagal tahun demi tahun oleh pelbagai cengkaman ‘repeat’ dan ‘refer’ – hingga memaksa kita berada di kelas yang sama di sekolah Ramadhan yang barakah.

Namun, kita tidak akan berputus asa. Dengan rasa berdosa kita terus melangkah. Berbekalkan rasa kehambaan, bernafaskan udara pengampunan… kita akan meneruskan perjalanan. Kealpaan, kederhakaan, kelemahan insan adalah kecil berbanding keampunan, kemaafan dan kasih-sayang Tuhan. Malah kita sering diingatkan, dosa yang menyebabkan kita menangis adalah lebih baik daripada ketaatan yang menyebabkan kita takbur.

Lalu… di kejauhan Ramadhan seiring bertamunya Syawal, marilah kita kutip dan titipkan dua air mata… air mata kesedihan dan air mata kegembiraan. Lalu kita luahkan: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Dan padanya segala pujian… Resapkanlah ke dalam diri rasa bersyukur dengan kata:
“ Ya Allah, terima-kasih kerana mengizinkan kami berada di antara dua antara ini!”

 

-fitrahperkasa-

Advertisements

Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: