DI ANTARA DUA ANTARA – Muhasabah Ramadhan & Aidul Fitri

29 09 2008

Ramadhan, akan pergi meninggalkan kita… pergi membawa bersamanya rahmat, barakah dan limpah kurnia dari Allah. Tidak ada jaminan yang kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan 1430 H nanti. Boleh jadi Ramadhan 1429 H adalah Ramadhan terakhir…

Manalah tahu ajal tiba… kita pun pulang tanpa dapat bertemu lagi dengan Ramadhan di dunia yang fana ini. Kita akan hijrah ke satu daerah yang disifatkan oleh Sayidina Ali krmh… “tempat menuai ganjaran tanpa peluang beramal.”

Di antara kesedihan meninggalkan Ramadhan dan kemeriahan persiapan menyambut Syawal, kita terperangkap antara dua rasa – gembira atau sedih? Sedih kerana pamitan Ramadhan yang akan pergi. Gembira dengan Syawal yang mula bertandang. Diantara dua antara ini, kita hanya punya satu hati. Bagaimanakah?

Kita perlu membuat pertimbangan. Justeru, rasa itulah yang akan membuahkan tindakan. Acapakali kita diperingatkan, manusia bertindak bukan atas justifikasi fikiran tetapi perasaan… Jika tepat apa yang kita rasa, tepat jualah tindakan kita. Tetapi jika salah rasa, salah pula tindakan. Benarlah, hati itu raja, fikiran itu bendehara… Dan di hati itulah ‘rasa’ kita bertakhta!

Sedihkah kita atas pemergian Ramadhan? Jika ya, mengapa? Kerana tertutupnya peluang membuat kebaikan yang berganda ganjarannya? Kerna sirnanya sinar Lailatul Qadar? Atau sekadar imbauan nostalgia yang sudah sebati dengan jiwa kita sejak dulu?

Ramai yang sedih mengenangkan keakraban hubungan keluarga ketika sama-sama bersahur, berbuka dan bertarawih. Terkenang wajah ibu, bapa, adik beradik atau kawan-kawan seperantauan bila menyambut puasa…

Jika hanya sedemikian, kesedihan itu tidak mempunyai makna yang hakiki. Itu adalah fitrah yang ada pada setiap insani. Kita makhluk yang dicipta secara ‘co-existence’ – wujud bersama ini, pasti merasakan begitu. Tetapi apa yang penting ialah kesedihan meninggalkan Ramadhan kerana hilangnya peluang untuk lebih akrab dengan Allah.

Walaupun pada bulan-bulan yang lain, rahmat Allah tidak pernah terputus… tetapi pada Ramadhan hubungan itu lebih intim, istimewa dan khusus. Kesedihan kita kerana Allah, bukan kerana manusia.

Hilanglah peluang berterawih, bertadarus dan berpuasa kerana-Nya. Mungkin kita masih boleh berpuasa, tetapi apakah sama dengan puasa Ramadhan? Ya, saat dan detik paling mustajab, paling akrab, paling indah bersama Ramadhan 1429 H akan terus hilang dan tidak akan datang-datang lagi. Jika kita berpeluang menemui Ramadhan lagi, itu Ramadhan 1430 H. Benarlah kata Imam Ghazali, “perkara yang paling jauh dengan manusia, bukan bintang, purnama atau mentari… tetapi masa lalu!

Saat-saat akrab dengan Allah di bulan Ramadhan itulah yang ditangisi pemergiannya oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Mereka adakah pemburu kebaikan yang senentiasa peka, tega dan rela dengan kehendak Allah. Kesedihan mereka, bukan imbauan nostalgia tahap rendah. Tetapi penyesalan hati tahap tinggi. Penyesalan yang menjadi ‘modal’ taubat.

Lalu kita bertanya di mana letaknya kesedihan kita meninggalkan Ramadhan? Jika kita tidak meletakkan sedih di tempatnya, marilah kita mula bersedih… Sedih kerana tidak sedih, seperti rintihan Rabiahtul Adawiyah:
“Istighfar kita sesungguhnya menuntut satu istighfar lagi…”

Layakkah kita gembira menyambut kedatangan Syawal? Takbir bergema di senja 1 Syawal di mana-mana. Takbir itu mengingatkan kita kepada kebesaran Allah. Dia Yang Maha Besar. Takbir itu petanda kemenangan. Kemenangan kembali kepada fitrah hasil mujahadah sepanjang Ramadhan yang diumpamakan sebuah sekolah (madrasah).

Pada 1 Syawal kita umpama ‘graduan taqwa’ yang mendapat syahadah dan ijazah. Kita berjaya. Lalu kita gembira mendapat tiga yang dijanjikan – rahmat, pengampunan dan bebas dari neraka. Namun benarkah? Benarkah kita ‘modal insan’ yang dikehendaki oleh Allah menerusi firman-Nya: “Wahai orang beriman, diwajibkan kepadamu berpuasa, seperti mana orang yang terdahulu daripada kamu agar kamu bertaqwa.”

Benarkah kita telah membesarkan Allah atau masih ‘membesarkan’ baju, kueh-mueh, langsir, rumah, kereta dan pelbagai ‘aksesori luaran’ sempena Hari Raya? Sudahkah kita memiliki ‘jiwa hamba’ walaupun diri bersalut dengan pelbagai kesenangan dan kemewahan? Terasakah kita masih seorang hamba yang hina, kotor, miskin, jahil, lemah dan berdosa di tengah kemeriahan Syawal? Atau kita mereka mulia, suci, kaya, ego dan takbur dengan segala ‘nikmat pinjaman’ daripada-Nya?

Takbir raya mengigatkan kita kepada kebesaran Allah, bukan kebesaran manusia. Lalu kita tetapi hamba di Hari Raya – mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan-Nya. Gema takbir itu hakikatnya adalah satu tazkirah berterusan agar kita menjadikan Allah sebagai illah dan rabb, bukan pada nafsu dan syaitan. Kita teringat syariat-Nya. Kita terkenang pengampunan-Nya. Kita terkesima dengan kasih sayang, kelembutan dan pemaaf-Nya.

Takbir… bukan pengusik rasa yang mengingatkan kita pada sidia dengan melupakan SIDIA. Bukan juga pengimbau kampung halaman di dunia yang fana hingga terlupa syurga yang baqa – kampung asal – nenda kita Nabi Adam dan Siti Hawa. Takbir bukan detik mula ‘bebas’nya nafsu berganding semula dengan ‘banduan Ramadhan’ – syaitan untuk kreatif, inovatif dan produktif mencipta dosa.

Sebaiknya, kita akan terus ‘menahan’ (bukan puasa ertinya menahan?) diri dan musuh-musuh Allah ini berpaut kepada kebesaran takbir kemenangan di hari Raya. Allah Hu Akbar.

Di antara dua antara… kita akan terus nestapa. Kita hakikatnya hanya menumpang gembira di pinggiran majlis konvokesyen ‘Graduan Taqwa’ di Syawal yang indah. Kita merenung mereka dari kejauhan ketika kaki dan tangan terus dipasung oleh dosa-dosa. Dan kita menjadi pelajar yang gagal tahun demi tahun oleh pelbagai cengkaman ‘repeat’ dan ‘refer’ – hingga memaksa kita berada di kelas yang sama di sekolah Ramadhan yang barakah.

Namun, kita tidak akan berputus asa. Dengan rasa berdosa kita terus melangkah. Berbekalkan rasa kehambaan, bernafaskan udara pengampunan… kita akan meneruskan perjalanan. Kealpaan, kederhakaan, kelemahan insan adalah kecil berbanding keampunan, kemaafan dan kasih-sayang Tuhan. Malah kita sering diingatkan, dosa yang menyebabkan kita menangis adalah lebih baik daripada ketaatan yang menyebabkan kita takbur.

Lalu… di kejauhan Ramadhan seiring bertamunya Syawal, marilah kita kutip dan titipkan dua air mata… air mata kesedihan dan air mata kegembiraan. Lalu kita luahkan: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Dan padanya segala pujian… Resapkanlah ke dalam diri rasa bersyukur dengan kata:
“ Ya Allah, terima-kasih kerana mengizinkan kami berada di antara dua antara ini!”

 

-fitrahperkasa-

Advertisements




All For You

28 09 2008

All For You
My prayers, my breath, my life and my death are all for you
None but you, only you, ya Allah

Every second I live, every penny I give
Is just for you
Every breathe I breath, every trace I leave
Is just for you

In all my fears, in all my tears
I’m callin’ you
In all my shame, in all my pain
I’m callin’ you

Through the night I pray, and I’m seeking your way
And it’s just for you
When I shed a tear, I know you’re near
And it’s just for you

Hayaty wa mawty wa ruhy wa dammi ilayka ya Rabi
Anabtu ilayk laja’tu ilayk, ya Allah

My life and my death, my soul and my blood
They’re all for you my Lord
I turn to You, I submit to You, my Lord

O Allah, I’m Yours.

inna solati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi Rabbil ‘Alamin.

moga cinta ku bukan palsu..





Rabbi yassir wa la tu’assir

25 09 2008

POSTGRADUATE WORKSHOP

“POVERTY: COMPARING MALAYSIA AND

NEW ZEALAND”

By: Sumayyah Abd Aziz

Supervisor: S. St John

Date: 26th September, (Friday)

Venue: Room 215, OGG

Time: 2.00-3.00pm





Perutusan Ramadhan

21 09 2008

Bacalah dengan mata hatimu~

Perutusan Ramadhan dari Ustaz Muhammad Mahdy Akif
(Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin)

“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna…” (al-Anfal:24)

Wahai ikhwan dan akhawat (sdra dan sdri)

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, wa ba’d

Moga-moga setiap tahun kamu dilimpahi kebaikan. Kini kamu dipayungi bulan mulia lagi berkat. Di dalamnya kebaikan berantai-rantai tiada putus, hembusan rahmat bertali arus, limpahan kasih al-Rahman mengalir laksana arus. Sesungguhnya Ramadan benar-benar bulan rahmah, maghfirah dan bebas dari belanggu api neraka. ”(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…” (al-Baqarah:185)

Ketahuilah sesungguhnya perjalanan yang panjang itu memerlukan bekalan. “….dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)”. (al-Baqarah:197)

Hendaklah kamu jadikan Ramadan ini masa untuk menyiapkan bekal setahun. Jadikan siam (puasa), qiam, wirid, i’tikaf, sedekah dan solat sebagai bekalan dalam perjalanan mengadap Tuhan. Daripada bekalan itu kita bisa berdiri, membangun cita-cita yang tinggi, memperkuat keazaman yang murni. Saat kita beramal di bulan yang mulia, hati bertaut dengan Kekasihnya, tidak lucut ikatannya, tidak putus pengharapannya, sedang jiwa mencapai keberuntungan berjual beli dengan Allah Yang Maha Esa. ”Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.” (al-Baqarah:207)

Jadikanlah Ramadan ini titik berlepas ke arah mencapai tujuan. Jadikan Islam sebagai sebuah daulah yang bergerak di dalam jiwa-jiwa manusia dan melekat di dalamnya. aqidah dan iradah, amal dan ibadah, ilmu dan kepimpinan, keagungan dan ketuanan. Biarlah Islam menjadi aqidah yang menggerakkan iradah (kemahuan), ibadah yang melahirkan amal, ilmu yang melayakkan memimpin, mendapat penghurmatan dan ketuanan. Semuanya terhasil dan tercerna mengikut acuan rabbani yang amat luas. Hendaklah semua hati-hati menjadikan matlamat puasa mereka seperti yang telah digariskan di dalam firman Allah yang bermaksud: ”…. supaya kamu bertakwa”. (al-Baqarah:183)

Beramallah dengan bersungguh-sungguh supaya bulan ini tidak pergi kecuali dalam keadaan kamu telah memperlihatkan kepada Allah keyakinan kamu kepada janjiNya, beriltizam dengan perintahNya, berjalan mengikut manhajNya, “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.” (al-Baqarah268). Pacakkan bendera yang bersesuaian bagi setiap sepuluh hari bulan Ramadan. Sepuluh yang pertama haraplah rahmat dengan berkasih sayang dan menguhubung silatul rahim. Sepuluh kedua harapkan keampunan dengan memohon ampun dan saling bermaafan agar terlerai segala dosa dan kesilapan lalu. Dan kemudian sepuluh terakhir haraplah kebebasan dari segala belenggu di dunia dan akhirat. “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (al-Ahzab:23)

Sahutlah seruan untuk hidup pada bulan Ramadan ini supaya sepanjang tahun akan datang nanti terus mekar dan subur berpanjangan. ”Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (al-Ahqaf:31)

Awas dan waspada Jangan sampai Ramadan kali ini terlucut dari genggaman kamu! Jika itu berlaku, rugilah kamu, kerugian yang tidak mungkin ditampung dengan apa usaha sekalipun. ”Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja dia melarikan diri) di bumi dan dia tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata.” (al-Ahqaf:32) “Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira” (al-Rum:4)

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

محمد مهدي عاكف
المرشد العام للإخوان المسلمين

Terjemahan Ustazah Maznah Daud
Ramadhan 1429.





Ya Rabb, lindungiku dari berputus asa

21 09 2008


Pernahkah dikau rasa
Bagaikan berputus asa
Fikiran bak gerhana
Menanti terbit cahaya

Kepayahan hanya dengan sementara
Berkat doa kan berakhir

Pabila merasa hilang bahagia
Redhakan dirimu menerimanya
Andai kesusahan menjadi ujian
Tetapkan imanmu, usah hilang pengharapan
Pintalah di ketika
Hidup dikelam nestapa
Semoga dikuatkan
Hati dengan kesabaran

Kepayahan hanya dugaan sementara
Berkat doa kan berakhir jua
Pabila merasa hilang bahagia
Redhakan dirimu menerimanya
Andai kesusahan menjadi ujian
Tetapkan imanmu, usah hilang pengharapan

Sesungguhnya setiap manusia
Ada ketikanya resah menempuh usia
Pohonlah semoga kau berbahagia
Berserah kepada Yang Maha Esa

Di kala kesulitan
Tabahkan dirimu kawan
Tadah tapak tanganmu
Di situlah ketenangan
Percayalah..

Do’a by NICE