Ada Apa Dengan 21 Ogos?

20 08 2008


Memperingati Masjid Al-Aqsa dibakar

TANGGAL
21 Ogos merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umat
Islam. Apa tidaknya, Pertubuhan Persidangan Islam atau lebih dikenali
dengan OIC lahir kerana insiden 21 Ogos. Apakah yang berlaku sehingga
persidangan ini tercetus?

Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki
berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan telah membakar Masjid
Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok serta mimbarnya yang
besar (mimbar Solahuddin).

Api marak dengan dahsyat sekali
seolah-olah seluruh Masjid Al-Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan
pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan. Tetapi Allah s.w.t
telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api
dapat dipadamkan.

Setelah itu orang-orang Yahudi membuat
pengadilan pura-pura terhadap Rohan. Lucunya, Rohan mendakwa bahawa dia
diutuskan oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu, bersesuaian dengan
berita dari Kitab Zakaria.

Apa yang menyedihkan kemudiannya ialah Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Rohan ‘gila’, dengan kata lain, tidak waras.

Maka,
atas sebab itu, Rohan tidak da- pat dipertanggungjawabkan atas kejadian
tersebut. Bertitik-tolak insiden menghinakan itu, negara-negara Islam
di seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam
perbuatan keji terhadap Al-Aqsa.

Maka sejak itu, 21 Ogos tanpa
gagal diangkat sebagai Hari Al-Quds sedunia. Ia disambut sebagai tanda
memperingati tragedi pembakaran masjid Al-Aqsa.

Tragedi tersebut
merupakan catatan sejarah yang paling menyedihkan dalam sejarah umat
Islam. Masjid Al-Aqsa yang begitu suci itu dihina sedemikian rupa.

Tidak
menghairankan apabila semua umat Islam seluruh dunia ‘terbakar’ hati
dan perasaan mereka kerana tindakan Rohan, 38 tahun lalu. Begitulah
nasib Tanah suci umat Islam yang ketiga setelah dihuni oleh rejim
Zionis.

Perlu diingatkan, isu Masjid Al-Aqsa ini ada hubung kait dengan hal-hal Palestin.

Maka
selayaknya, isu Palestin ini merupakan isu yang dipertanggungjawabkan
bagi sekalian umat Islam. Satunya kerana, kedudukan Masjid al-Aqsa
sebagai Tanah Suci ketiga dalam Islam. Selebihnya ia merupakan kiblat
pertama umat Islam selain menjadi bumi didiami para Nabi serta pusat
pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkan dalam hadis
Rasulullah.

Bagi masyarakat bukan Islam, isu Palestin
menggambarkan ketidakadilan dan kezaliman rejim terhadap bangsa
Palestin yang perlu sama-sama dibela dan diperjuangkan.

Hari ini Palestin berada dalam tangan rejim Zionis yang telah merampasnya daripada tangan umat Islam.

Pembelaan

Akibatnya,
umat Palestin telah dihalau keluar, dizalimi, ditindas,
dikambinghitamkan, dipenjarakan dan dibunuh. Nasib yang melanda umat
Islam Palestin memerlukan pembelaan dari seluruh umat Islam.

Sebagai usaha pembelaan dan kepedulian, maka Hari Memperingati Al-Quds atau Remembrance of Al-Quds (ROQ) merupakan sebuah gagasan yang menjadi simbol solidariti umat Islam di Malaysia terhadap umat Palestin.

Pelbagai
kegiatan boleh dijalankan untuk menghebahkan tentang isu Palestin dan
kedudukan Palestin dalam hati umat Islam serta soal penindasan di
Masjid Al-Aqsa. Kita berharap program ini akan menggerakkan masyarakat
su- paya sedar lalu terpanggil untuk menghulurkan sumbangan dan
mempersiapkan diri mereka dengan segala pertahanan dan kecemerlangan
sebagai umat yang terbaik.

Episod duka Palestin ini, ditambah
dengan penindasan dan kezaliman yang tidak henti hingga ke saat ini
hakikatnya menuntut sokongan dan bantuan semua, seluruh lapisan
masyarakat dunia.

Malah, 21 Ogos hadir setiap tahun
mengingatkan kita bahawa sekiranya kita tidak mempertahankan tanah suci
Palestin dan Masjid Al-Aqsa, kelak, kita bukan sahaja tidak dapat
mempertahankannya daripada sekadar dibakar, malah keseluruhannya
cenderung untuk dirampas secara haram oleh rejim Zionis.

Justeru,
bersempena Sambutan Memperingati Hari Al-Quds Sedunia tahun ini, adalah
amat wajar untuk kita sama- sama mengajak masyarakat sekeliling
memperingatinya, apatah lagi merencana langkah strategik, efektif dan
praktikal lagi kreatif demi menyumbang ke arah pembebasan Palestin.

Sementara
itu, antara aktiviti-aktiviti untuk menyemarakkan sambutan ini ialah
ceramah umum, seminar, demonstrasi damai, penerbitan filem, buletin,
cakera padat video (VCD), persembahan seni seperti teater, nasyid, dan
festival seni dan pameran kesedaran di tempat awam yang strategik di
masjid-masjid, sekolah-sekolah termasuk gedung beli-belah dan
sebagainya.

Advertisements

Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: