Remaja Jiwa Merdeka

17 08 2008

Jendela Hikmah: LIMA ASAS PENTING REMAJA JIWA MERDEKA
Oleh Maryam Jailani

PADA saat rakyat seluruh negara membilang hari menjelang sambutan
kemerdekaan yang ke-50 pada akhir bulan ini, ramai remaja masih
tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa remaja merdeka.
Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah
kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi
rakaman yang masih tersimpan.

Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih
daripada itu! Mengetahui erti sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan
memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa
penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan
jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan diberikan
kepada kita.

Dalam konteks ini, jiwa remaja yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas penting :

  • Pertama, jiwa remaja yang merdeka kenal jati dirinya.

Jiwa remaja yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa
dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini
bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi
dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian.

Contoh remaja yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman
Rasulullah. Remaja seperti Ali bin Abi Talib serta Aisyah binti Abu
Bakar faham mereka diciptakan Allah dan akan kembali semula
kepada-Nya.Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia
yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada
Allah dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah
Allah.

Remaja berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya.

Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan
keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa
sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan
zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman
inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai
diri mereka apabila menjadi remaja berusaha memenuhi tujuan hidup.

  • Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar,
    jiwa remaja merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada
    kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada
    Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami
    implikasinya dengan sepenuh jiwanya.

Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu
menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya.

Walaupun 50 tahun Malaysia merdeka, remaja menemui kemerdekaan jiwa
mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk
menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya
diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan
degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti
kemerdekaan sebenar!

  • Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan
    dan kebenaran hari pembalasan. Remaja berjiwa merdeka memahami bahawa
    kematian itu pasti.

Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah: “Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh….” (An-Nisa’: 78).

Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, remaja berjiwa
merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal
paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh
dalam lubang kealpaan dan kelalaian, remaja berjiwa merdeka akan
bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.

  • Keempat, kesannya, lahir remaja merdeka yang
    sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna.
    Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan
    tidak berguna.

Begitulah hebatnya jiwa remaja yang merdeka. Mereka menyedari bahawa
hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup
dengan penuh erti.

Apabila dipanggil kembali, remaja berjiwa merdeka tersenyum bangga
membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman
Allah:

Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu
dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan
hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku
” (Al-Fajr: 27-30).

Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai
manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi
rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya.

Remaja berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya.

Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka
hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk
survival fizikal.

Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap
ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi
rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk
memajukan diri dan ummah.

  • Kelima, jiwa remaja merdeka adalah jiwa sentiasa
    memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran
    sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada
    yang untung dan ada rugi.

Remaja berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung.
Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak
menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh
jiwa dan sepanjang hayatnya.

Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia
bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan
bukan hanya pada fizikal.

Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak
terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam yang sedikit terasa
sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati.

Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh
dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa
mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang
kepadanya.

Semoga kemerdekaan kita terus berkekalan sebagai umat yang salih dan
diredai Allah. Kita isi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji,
bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.

– Penulis adalah Pelajar Sarjana Perbandingan Agama, Kulliyyah
Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa dengan
kerjasama Wanita JIM

Advertisements

Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: